fb fb fb fb fb

Ulama aset besar sesebuah negeri, jamin kestabilan sosial & keharmonian

Datuk Seri Jalaluddin Alias

PORT DICKSON, 6 Julai- Kehadiran ulama dalam sesebuah negeri merupakan aset besar bagi menjamin kestabilan sosial dan keharmonian khususnya di dalam negeri tersebut.

Ulama berupaya memberikan pandangan berlandaskan syariat Islam di dalam pembentukan dasar-dasar kerajaan terutamanya perkara menyentuh hal ehwal agama, pendidikan, ekonomi Islam dan kebajikan rakyat.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ulama merupakan susuk tubuh yang mempunyai peranan penting sebagai penasihat kepada pemerintah khususnya dalam menelusuri pentadbiran.

"Di bumi beradat Negeri Sembilan, peranan ulama sangat besar khususnya membentuk masyarakat yang berakhlak menjaga keharmonian antara tradisi dan syariat serta mengekalkan jati diri umat Islam dalam menghadapi arus perubahan dunia.

"Apabila kita berbicara soal pembangunan negeri lazimnya kita membayangkan aspek fizikal seperti infrastruktur, ekonomi dan teknologi namun pembangunan yang sebenar tidak hanya tertumpu pada aspek zahir semata-mata tetapi haruslah bersifat seimbang dan menyeluruh.

"Ia juga perlu melibatkan pembangunan insan akhlak dan nilai manusiawi. Jadi kita boleh lihat betapa peri pentingnya peranan para ulama dalam sesebuah negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Ulama Negeri Sembilan di sini.

Pembangunan negeri yang berteraskan prinsip MADANI dan makasid syariah akan lebih berjaya disokong dengan gandingan pemerintah dan ulama.

Pada masa sama, kerajaan Negeri Sembilan tidak pernah putus membantu dan menyokong segala usaha untuk memperkasakan Islam di negeri itu dengan memperuntukkan sejumlah besar dana untuk perkembangan agama Islam seperti dana pembinaan masjid baru dan sekolah-sekolah agama di dalam Belanjawan 2025. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI