fb fb fb fb fb

Etiqa salur zakat korporat lebih RM982,000 kepada Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) yang juga Yang Dipertua MAIPs, berkenan menerima cek cura sebagai simbolik penyerahan zakat itu di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail

KANGAR, 6 Julai- Etiqa Family Takaful Berhad menyalurkan zakat korporat bagi tahun 2024 lebih RM982,244.50 kepada negeri Perlis melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Ia sebagai usaha memperkasakan komuniti melalui pendekatan zakat korporat yang menyeluruh dan bersasar.
 
Selain pemberian zakat itu, bantuan pek makanan turut diserahkan kepada 350 keluarga asnaf di negeri itu, dikelolakan Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun.
 
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim, program sedemikian selari dengan tujuan korporat Etiqa iaitu "Menjadikan Dunia Tempat yang Lebih Baik" dan zakat bukan sekadar memberi tetapi turut menyentuh serta memperbaiki kehidupan mereka yang memerlukan.
 
Dengan menggabungkan bantuan makanan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan, usaha dilaksanakan itu dapat membawa perubahan berkekalan kepada komuniti dan bantuan zakat diagihkan dapat memberi manfaat kepada lebih ramai golongan memerlukan.
 
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs, berkenan menerima cek cura sebagai simbolik penyerahan zakat itu di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail.
 
Bersempena program tersebut, turut diadakan Kayuhan Berbasikal Amal sejauh 15 kilometer sekitar bandar Kangar dengan persinggahan di tiga rumah asnaf terpilih.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mencemar duli menyantuni dan mengurniakan sumbangan tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI