fb fb fb fb fb

Produk tertera gambar Kaabah bukan alas kaki tapi sejadah mini

Produk disangka alas kaki tertera gambar Kaabah yang dirampas Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah pasar raya di Batu Pahat, Johor pada Selasa lalu, merupakan sejadah mini

KUALA LUMPUR, 13 April - Produk disangka alas kaki tertera gambar Kaabah yang dirampas Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah pasar raya di Batu Pahat, Johor pada Selasa lalu, merupakan sejadah mini.

Pasar raya berkenaan dan syarikat pembekal produk itu dalam kenyataan bersama hari ini menjelaskan kekeliruan timbul berikutan barangan tersebut dilabel secara tidak tepat sebagai alas pintu.

Sebaik menerima maklumat, deskripsi produk tersebut telah dibetulkan serta-merta dalam sistem pengurusan barangan sebagai sejadah.

"Syarikat pembekal itu merupakan Perusahaan Kecil Sederhana 100 peratus milik bumiputera dan Islam yang membekalkan pakaian Muslimah patuh syariah serta produk lain termasuk sejadah, permaidani dan tikar.

"Kedua-dua pihak akan terus bekerjasama dengan JAINJ dan mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang diperlukan," menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pihak berharap kenyataan tersebut akan menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu berkenaan selain berharap spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dapat dihentikan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN