KUALA LUMPUR, 13 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat keturunan Siam untuk sama-sama menggerakkan seluruh tenaga dan usaha ke arah memperkukuh perpaduan dan kasih sayang antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Anwar menyeru rakyat supaya menyingkirkan fitnah, prejudis dan sentimen yang memecah belah, sekali gus merugikan semua pihak.
"Kesepaduan yang kukuh adalah senjata paling ampuh untuk kita merealisasikan perjuangan dan cita-cita murni mengangkat darjat watan ke tingkat tertinggi," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut mengucapkan selamat menyambut perayaan Songkran kepada seluruh masyarakat Siam di Malaysia.
Songkran yang terkenal sebagai festival air adalah sambutan Tahun Baharu Thailand yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun.