fb fb fb fb fb

Produk makanan halal Malaysia tembusi pasaran di 150 negara - Mohamad

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu

KOTA KINABALU, 9 Mac - Eksport produk makanan proses berstatus halal Malaysia kini berjaya menembusi ke lebih 150 negara yang meliputi 1.8 bilion umat Islam global.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata , jika usaha dilipatgandakan tidak mustahil produk tempatan Halal Malaysia akan menjadi produk pilihan dan mempunyai permintaan tinggi di seluruh dunia, memandangkan pasarannya yang masih luas.

"Sudah tentunya menjadi hasrat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk melihat produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

"Oleh itu, KPKM serta kementerian lain yang berkaitan sentiasa menyokong usaha para penggiat industri makanan tempatan untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan di peringkat global melalui pelbagai galakan dan insentif kerajaan sama ada dalam bentuk bantuan khidmat nasihat, latihan, geran pembiayaan dan insentif cukai," beliau berucap ketika merasmikan Expo Makanan Antarabangsa Sabah 2024 (SIFEX2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Expo itu berlangsung selama tiga hari hingga esok bermula 10.00 pagi hingga 8.00 malam.

SIFEX2024 mengetengahkan antaranya produk makanan, minuman, produk industri kecil dan sederhana (IKS) dan buah-buahan melibatkan 300 lot niaga oleh usahawan dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan peserta luar negara.

Sementara itu, Mohamad berkata teknologi digital pada era Revolusi Industri 4.0 pada masa ini mempengaruhi semua peringkat rantaian nilai agromakanan.

"Pendigitalan digabungkan dengan inovasi dan ekoinovasi untuk mendapatkan kelebihan daya saing yang lebih mampan. Dengan kata lain, teknologi digital merupakan kunci utama mentransformasikan kaedah sesuatu makanan dihasilkan, diproses, dijual dan dimakan.

"Dalam konteks ini, kita sering dapat melihat kejayaan luar biasa para usahawan khususnya dalam kalangan golongan belia yang lebih sinonim dengan panggilan pempengaruh media sosial, berjaya menggandakan sumber pendapatan mereka dengan meningkatkan jualan produk-produk tempatan menerusi platform media sosial," katanya.

Sehubungan itu, beliau percaya anak-anak Sabah juga mampu menghasilkan produk makanan yang berpotensi dipasarkan dan dijual ke seluruh negara menggunakan platform aplikasi digital, dalam talian mahupun luar talian.

TETITIA YUSOFF