fb fb fb fb fb

Produk halal tempatan mampu tembusi pasaran antarabangsa

KUANTAN, 16 Julai- Pemilikan sijil pengesahan halal dan logo halal antara faktor perniagaan keluaran francaisor tempatan diterima baik di luar negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof berkata ia menunjukkan kualiti dan standard produk Malaysia mematuhi piawaian kebersihan dan peraturan yang ditetapkan.

Menurut beliau, perkara tersebut dilihat ketika pihaknya bersama Persatuan Francais Malaysia (MFA) melaksana Program Pengukuhan Francais Bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) di Arab Saudi, Bosnia dan Afrika Selatan tahun ini.

Menurut beliau, misi ini akan diteruskan ke Indonesia dan Filipina bagi tujuan sama.

“Kami mendapat maklum balas yang cukup positif daripada pihak negara sana tentang produk-produk Malaysia ini. Ini kerana produk Malaysia ini ada keistimewaan dari segi standard, kualiti apatah lagi ada sijil halal.

Negara bukan Islam pun tahu bahawasanya produk yang ada sijil halal ini mempunyai potensi untuk dikembangankan ke luar negara," kata Datuk Azman kepada pemberita RTM dalam sidang media Program Jelajah Francais Bay (PJFB) 2022 bagi Zon Pantai Timur, di sini.


(Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof
berkata demikian dalam sidang media Program Jelajah Francais Bay (PJFB) 2022 bagi Zon Pantai Timur)

Tambah beliau, program melibatkan penyertaan usahawan di ekspo dan pameran peringkat antarabangsa ini antara inisiatif kerajaan membantu mempromosikan perniagaan mereka seterusnya menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.

Turut hadir merasmikan, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Pengarah KPDNHEP Negeri, Datuk Mark Ujin.

Jelajah siri ketiga selepas Sarawak dan Johor ini, menyasarkan sekurang-kurangnya 30 potensi francaisi dengan nilai jangkaan potensi pelaburan sebanyak RM7.5 juta.

Setakat Mei 2022, seramai 1,142 francaisor dan 1,531 francaisi telah berdaftar dengan Industri Makanan dan Minuman sebanyak 36.4%, Perkhidmatan dan Penyelenggaraan pula 15.8% serta Pusat Pembelajaran dan Pendidikan sebanyak 11.8%.

 

Media Baharu