fb fb fb fb fb

KKM jamin penjimatan tidak libatkan perkhidmatan kesihatan negara -Khairy

(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin/BERNAMA)

IPOH, 16 Julai- Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan perkhidmatan kesihatan terhadap masyarakat tidak akan terjejas susulan arahan langkah penjimatan dalaman oleh Kementerian Kewangan

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penjimatan hanya dilakukan melibatkan perkara asas dalam kementeriannya bagi perkhidmatan bukan kesihatan seperti penganjuran acara selain kemudahan pakaian dan jamuan.

“Saya beri jaminan bahawa Pekeliling Perbendaharaan itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan. Perkara asas seperti (perbelanjaan bagi) ubat-ubatan, tidak akan dipotong (jimat).

“Yang kita akan potong adalah benda lain seperti majlis protokol, jamuan dan baju. Macam majlis buatlah di fasiliti sendiri, tidak perlu sewa hotel dan tidak perlu katering mewah,” katanya dalam sidang akhbar di Meru Raya di sini selepas melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perak dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Bulatan Sultan Azlan Shah yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Tambah beliau, KKM juga telah mengarahkan semua jabatan dan bahagian kementerian untuk menggariskan langkah-langkah penjimatan dalaman selaras dengan arahan kerajaan.

(Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (dua,kanan) bersama Menteri Besar Perak
Datuk Seri Saarani Mohamad (dua,kiri)melawat kawasan ruang pameran selepas melancarkan
Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perak
di Bulatan Sultan Azlan Shah/BERNAMA)

 

 

Media Baharu