fb fb fb fb fb

PRN Kedah: Manifesto BN-PH utamakan kesejahteraan rakyat

(FOTO UMNO KEDAH)

ALOR SETAR, 17 Jun- Manifesto gabungan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang akan merangkumi pelbagai aspek demi memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tawaran yang akan dimuktamadkan BN dan PH dalam tempoh terdekat itu diyakini mampu memberi keyakinan kepada pengundi dalam membuat pilihan mereka.

Beliau berkata, antara intipati manifesto yang dibincangkan adalah tawaran kepada wanita dan golongan belia selain aspek kesejahteraan rakyat membabitkan sektor ekonomi, pertanian, pendidikan dan sukan.

“Kita akan bawa tawaran ini untuk diputuskan BN dan PH minggu depan, jika kedua-dua pihak terima, maka kita akan bentangkan kepada rakyat pada PRN kali ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas UMNO Kedah di Alor Setar, malam tadi.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara BN dan PH, Datuk Seri Mahdzir memaklumkan proses rundingan kini di peringkat pusingan akhir untuk dimuktamadkan.

“Pembahagian kerusi sudah masuk pusingan akhir, cuma ada dua kerusi berlaku pertindihan dan kita serah pada Pusat untuk menentukan siapa yang bakal bertanding. Bagi kerusi lain, kita sudah capai persefahaman.

“Pembahagian di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan BN dan PH ada wakil di setiap kawasan Parlimen, ini bagi menunjukkan semangat perpaduan antara kita pada PRN ini,” katanya.


(FOTO UMNO KEDAH)

Media Baharu