fb fb fb fb fb

SAC 2023: USM sasar kedudukan lima terbaik dunia

(FOTO USM)

PULAU PINANG, 16 Jun 2023- Pasukan WAU Rocketery dari Universiti Sains Malaysia (USM) menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima terbaik dunia dalam aksi Spaceport America Cup (SAC) 2023 setelah sekadar menamatkan saingan kedudukan tujuh terbaik tahun lalu.

SAC 2023 akan berlangsung dari 19 hingga 24 Jun depan di Amerika Syarikat.

Ketua Pasukan Wau Rocketry, Vanmitha Athimoolam berkata, pasukannya terdiri daripada 16 orang pelajar dengan bimbingan dua orang pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPKA), Dr. Norilmi Amilia Ismail dan Dr. Chang Wei Shyang yang bertindak sebagai penasihat pasukan serta dua orang mentor yang berpengalaman dalam pembinaan roket.

Tambah Vanmitha, beliau dan pasukannya akan memberikan persembahan yang terbaik bagi mengharumkan nama USM dan negara dalam pertandingan berprestij yang turut disertai oleh ratusan pasukan dari seluruh dunia itu.

Beliau turut menambah, pihaknya amat terharu dengan sokongan USM dan semua pihak, khususnya rakan kerjasama iaitu Malaysian Industry-Goverment Group for High Technology (MIGHT), para penaja termasuk Kementerian Kewangan Malaysia, OMS Foundation, Malaysia Airlines, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prevail Production, Zush, Kovra dan sebagainya.

WAU Rocketry, sekali lagi menjadi satu-satunya universiti dari negara ini yang layak dipilih untuk melancarkan roket dalam pertandingan SAC 2023, yang menjadi persidangan dan pertandingan pelancaran roket berkuasa tinggi antara universiti terbesar di dunia.

Pada tahun 2022, pasukan WAU Rocketry meraih tempat ke-7 dalam kategori 10,000 feet Commercial of The Shelf (COTS) dan juga mendapat kedudukan ke-12 dalam ranking dunia manakala untuk edisi tahun ini, akan mempertaruhkan roket yang dikenali sebagai HEBAT II.

Dalam pada itu, Dekan PPKA, Profesor Dr. Farzad Ismail pula berkata, pihak USM sentiasa memberikan sokongan padu kepada WAU Rocketry dan dalam masa yang sama menjadikan ia contoh kepada usaha USM dalam memperkasa bakat siswa.

Selain itu ujar beliau, pencapaian Wau Rocketry membuktikan komitmen dan kesungguhan mereka dalam menyerlahkan bakat HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) dalam diri masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Bendera kepada pasukan WAU Rocketry yang berlepas ke New Mexico, AS dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.


(FOTO USM)

Media Baharu