fb fb fb fb fb

Orang Asli Pos Hendrop, Pos Tuel akhirnya dapat nikmati kemudahan elekrik

GUA MUSANG, 17 Jun- Kira-kira 2,000 Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Hendrop dan Pos Tuel, di sini, bersyukur kerana akhirnya dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam.

Kemudahan itu dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Penghulu Kampung Hanir Pos Tuel, Razak Rongging berkata penduduk sangat gembira kerana sebelum ini, hanya bergantung dengan lilin, pelita dan enjin generator bagi menerangi kediaman terutama pada waktu malam.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah membantu menyalurkan kemudahan elektrik untuk penduduk di sini...sememangnya kami sangat mengidamkan bekalan elektrik ini.

"Kita sangat bersyukur dengan apa yang diberi ini. Penduduk Orang Asli Memang sangat-sangat memerlukan kemudahan elektrik ini. Saya harap pihak TNB bantu memberi penjelasan penggunaan kepada penduduk mengenai penggunaan tenaga elektrik, kita ini pengguna baru, jadi ramai yang masih tidak tahu," katanya.

(Penghulu Kampung Hanir Pos Tuel, Razak Rongging)

"Sangat teruja, sebelum ini guna generator perbelanjaan juga tinggi. Ada elektrik ini sangat mudahlah, dengan urusan anak-anak nak ke sekolah, bangun awal pagi...sangat gembira," menurut penduduk Pos Tuel, Zaiton Anjang. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutama KKDW atas penyambungan bekalan elektrik untuk 450 keluarga di kawasan itu.

"Pelbagai kampung seperti Kampung Sungai Ber, Kampung Plug, Kampung Kerbok, Kampung Hendrop dan Kampung Tuel telah mendapat manfaat. Seterusnya kita akan menambah baik fasiliti sedia ada seperti jalan, dewan, masjid dan sebagainya,” katanya.

Katanya, elektrik mula disalurkan bermula sejak bulan lalu selepas kerja pemasangan tiang serta meter dilakukan.

Media Baharu