fb fb fb fb fb

PRK Kuala Kubu Baharu : PM nafi dakwaan MIC tidak beri sokongan kepada calon kerajaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

SHAH ALAM, 21 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu (KKB) tidak mendapat sokongan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran  telah menyatakan persetujuan  untuk turun padang membantu  kempen pilihanraya tersebut sekali gus menyangkal dakwaan parti komponen MIC dan MCA itu hanya berkempen bagi calon BN.

"Presiden MIC hubungi saya kata dia akan tolong di KKB. Beliau kata tAK betul laporan  yang menyatakan tak akan beri kerjasama," kata Anwar mengulas mengenai hasrat MIC tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu, jika calon kerajaan bukan daripada BN, seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Beliau ditemui media selepas Konvensyen 25 Tahun PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong dari DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH), pada 21 Mac.

Senarai calon untuk mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK itu sudah dikemukakan pada Anwar melalui Mesyuarat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan, baru-baru ini.

BN juga sebelum ini berpendirian, menghormati persetujuan supaya parti penyandang DUN itu diberikan keutamaan untuk meletakkan calon mewakili kerajaan.

TETITIA YUSOFF