fb fb fb fb fb

JIM Kelantan tumpaskan Sindiket pemalsuan slip kad UNHCR

Foto Hiasan/Foto RTM

KOTA BHARU, 21 April -Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan berjaya mematahkan kegiatan pemalsuan slip permohonan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) apabila menahan dua lelaki warga Myanmar di Pasir Puteh, kelmarin.

Kedua dua lelaki berusia 28 dan 30 tahun yang juga etnik Rohingya itu di berkas dalam Op Kutip/Sapu di sebuah rumah sewa di Kampung Changgal, Pasir Puteh, sekitar pukul 2.00 pagi.

Menurut Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan), Ruzaana Mohamed, serbuan pihaknya turut merampas wang tunai RM140,000, dua unit komputer riba dan lima slip permohonan kad UNHCR palsu.
 
Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu dipercayai terbabit dengan sindiket mengeluarkan slip permohonan kad UNHCR palsu dengan bayaran RM 2,000 seorang.

"Semasa kita jalankan operasi selain aduan kita juga ada menjalankan risikan. Jadi, kita pergi ke rumah ke rumah, kita jumpa dengan keadaan sindiket ini .Daripada segi kita hendak kata dia telah melakukan kegiatan benda ini lama dahulu kita kena siasat dulu", katanya ketika bercakap kepada media di sini.

Suspek pertama ditahan mengikut Seksyen 55 D Akta Imigresen 1959/63 (pemalsuan dan pindaan bagi pengendorsan atau dokumen) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (penduduk dilarang membenarkan imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis).
 
Manakala, seorang lagi warga Myanmar ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan siasatan lanjut masih dijalankan sama ada lelaki itu menjadi pembantu kepada suspek pertama.

Dalam perkembangan lain, Ruzaana berkata, pihaknya juga berjaya menahan seorang lelaki dan tiga wanita warga Myanmar kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
 
Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun itu dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD