fb fb fb fb fb

JPJ Perlis kutip lebih RM850,00 kompaun

Foto JPJ Perlis

ARAU, 21 April - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis berjaya membuat kutipan kompaun sebanyak RM861,730 bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Jumlah berkenaan meningkat sebanyak 34.38 peratus berbanding tempoh sama tahun 2023 yang hanya berjumlah RM539,620.

Menurut Pengarah JPJ Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah dalam kenyataannya, kutipan kompaun berkenaan membabitkan pelbagai kesalahan termasuklah berkaitan pelesenan kenderaan dan insurans, kesalahan teknikal dan kesalahan melanggar lampu isyarat merah.

"Kompaun juga melibatkan pelesenan pemandu, memotong di garisan berkembar, memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar dan topi keledar serta menggunakan telefon bimbit semasa memandu," kata Fatimah.

Dengan berakhirnya Operasi Khas Musim Perayaan Sambutan Aidilfitri semalam, JPJ Perlis kini terus melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang jalan raya secara holistik dan berterusan serta berfokus bagi meningkatkan budaya pematuhan peraturan lalu lintas dikalangan pemandu kenderaan di Perlis

Penguatkuasaan itu bagi mencapai misi utama JPJ Perlis untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan sasaran untuk sifar kematian akibat daripada kemalangan di jalan raya terutamanya yang melibatkan penunggang motosikal dan pemandu serta penumpang kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan perdagangan.

TETITIA YUSOFF