fb fb fb fb fb

PRK Kemaman: MB Pahang yakin calon BN raih sokongan Orang Asli

FOTO FB wanrosdyOfficial

KEMAMAN, 27 November-Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin masyarakat orang asli Kampung Sungai Pergam, di Kemaman akan memberi sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Kemaman.
 
Kata Wan Rosdy, masyarakat orang asli kini mulai sedar perlunya mereka memilih wakil rakyat kerajaan Perpaduan bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan mereka.
 
Tambah Wan Rosdy, semua aktiviti pembangunan dan usaha untuk menjaga kebajikan serta kepentingan mereka telah dilakukan oleh kerajaan Persekutuan sejak dahulu dan mereka inginkan pembangunan berterusan.
 
Menurut Dato’ Seri Wan Rosdy, sepanjang tempoh lapan hari berkempen beliau melihat sambutan yang amat baik penduduk terhadap calon BN itu begitu menggalakkan.
 
"Kita membawa mesej bahawa kita perlukan satu suara, di Terengganu. Ini kerana sekarang ini kita tidak ada wakil daripada kerajaan Perpaduan, daripada Barisan Nasional, jadi, dengan sokongan pengundi, di Parlimen Kemaman ini, Insya-Allah, Jeneral bersara Tan Sri akan dapat mewakili kita, jadi saya harap, saya menyeru pada semua pengundi, bukan sahaja di sini, teruslah memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional", katanya demikian ketika hadir program ziarah Mahabbah bagi membantu kempen jentera BN di sini.
 
Wan Rosdy turut berkata, jentera BN akan menggunakan baki kempen yang hanya ada kira-kira enam hari lagi untuk lebih agresif dalam menyampaikan mesej kepada pengundi di Kemaman.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD