fb fb fb fb fb

Sasaran 18 juta pelancong untuk TMM2024 menerusi pengecualian visa kepada pelancong China

FOTO FAIL

AYER KEROH, 27 November - Pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China, India mulai 1 Disember ini dapat membantu Melaka capai sasaran 18 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), tahun hadapan.

Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata lebih banyak promosi pelancongan akan dijalankan di China memandangkan kemasukan pelancong dari negara itu adalah tinggi.

Beliau berkata, promosi berkenaan mula dijalankan bulan hadapan dengan memfokuskan beberapa wilayah republik itu.

"Saya yakin dengan tidak perlu lagi visa yang diumumkan oleh Yang Berhormat Perdana Menteri, ini akan menyumbang kepada sasaran kita dari 15 juta hingga 18 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka itu. Insya-Allah minggu depan kita akan mempergiatkan lagi dengan bahagian promosi pelancongan; akan pergi ke bebarapa buah tempat di China untuk kita mempergiatkan lagi promosi, lebih-lebih lagi kita akan war-warkan pelancong negeri China ini tidak perlu lagi permit," kata Abdul Razak pada sidang media Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di Seri Negeri, di sini.

Dalam pada itu Abdul Razak berkata, Mac dan April tahun depan bakal menjadi bulan pelancongan Islam di negeri itu. 

Pemilihan tema Islamik sebagai pelancongan kebudayaan Islam itu adalah memandangkan waktu itu jatuh pada bulan Ramadan. 

Antara program yang sudah dirangka sepanjang bulan berkenaan termasuk majlis berbuka puasa beramai-ramai, Qiamullail Perdana dan beberapa majlis ilmu.

TETITIA YUSOFF