KEMAMAN, 17 November- Seramai 419 pegawai dan anggota polis ditugaskan semasa proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman esok.
Manakala bagi persediaan PRK dan banjir, hampir 2,800 pegawai dan anggota ditugaskan sehingga tamat proses pengundian 2 Disember nanti.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata kekuatan anggota tersebut bagi memastikan proses PRK itu berjalan lancar.
Tambah Mazli, Ibu Pejabat Polis (IPK) Kemaman, Pasukan Simpanan Bersekutu, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut terlibat dalam proses berkenaan.
Mazli turut menasihatkan orang ramai dan parti-parti politik yang bertanding agar mematuhi arahan, peraturan serta larangan tempoh berkempen dan hari pengundian kelak.
"Insya-Allah kita telah menyusun kita punya penugasan. Lebih 2,000 pegawai dan anggota polis akan terlibat. Semua aset kita akan gerakkan pada musim banjir ini, kita susun sebaik mungkin," katanya kepada pemberita di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini.
Pihaknya turut bekerjasama dengan pelbagai agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang PRK berlangsung.
Dalam pada itu, Mazli berkata sebanyak 25 jalan ditutup dari pukul 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari dalam memastikan kelancaran proses penamaan itu.
Dan hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke pusat penamaan tersebut.
"Setiap calon diminta mematuhi segala peraturan yang ada supaya proses tersebut berjalan lancar," kata Mazli.