ALOR SETAR, 17 November- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyasarkan 28 usahawannya yang menyertai Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya 2023 mampu menjana hasil jualan mencecah suku juta ringgit.
KUD@Putrajaya 2023 akan diadakan di Anjung Floria, Putrajaya bermula 22 hingga 26 November ini.
Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff berkata 28 usahawan KEDA telah dipilih untuk menyertai karnival tersebut.
Ia melibatkan 16 usahawan kluster makanan dan minuman serta 8 usahawan dari kluster kesejahteraan dan gaya hidup.
Selain usahawan, KEDA turut menyertai pameran agensi, pavilion rural tourism, khemah masakan panas dan laman ternakan yang menampilkan 45 spesies reptilia seperti arnab, ikan laga, udang kara dan landak.
"Kita cuba mengetengahkan mereka yang ada kelainan dalam produk. Contohnya, produk-produk yang berasaskan makanan seperti aiskrim dona dan juga produk-produk yang mana identitinya mempunyai identiti Kedah", katanya kepada RTM selepas majlis Pra-Pelancaran Usahawan KEDA @ KUD Putrajaya 2023 di ibu pejabat KEDA di Jalan Langgar, Alor Setar.
KUD Putrajaya 2023 akan disertai kira-kira 1,000 usahawan dari seluruh negara bagi memperkenalkan produk pelancongan luar bandar yang menarik dan mampu menambat hati pengunjung.
Majoriti usahawan-usahawan luar bandar yang terlibat adalah terdiri daripada kategori makanan dan minuman, fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan, serta kraftangan dan juga produk pertanian.
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan satu juta orang berkunjung ke karnival berkenaan.