BINTULU, 4 November - Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak apabila calonnya, Iskandar Turkee diisytiharkan sebagai pemenang dalam PRK DUN tersebut.
Keputusan diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Jepak, Abang Zainuddin Abang Turkey pukul 8.30 malam tadi di pusat penjumlahan undi di Dewan Suarah Bintulu.
Iskandar, 54 tahun yang merupakan bekas pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan cawangan Sarawak, menewaskan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing dengan majoriti 8,784 undi.
Iskandar memperoleh 9,638 undi, Stevenson 854 undi, manakala Chieng 431 undi.
Peratusan pengundi yang keluar mengundi adalah 48.57 peratus.
DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
Pada Pilihan Raya Negeri 2021, Allahyarham Datuk Talib memenangi kerusi DUN Jepak dengan majoriti undi 4,243.
Sementara itu, calon GPS, Iskandar Turkee menyifatkan kemenangan tersebut menggambarkan kematangan pengundi dalam meneruskan pembangunan di kawasan itu.
Selain itu, Iskandar turut berikrar akan berkhidmat kepada semua penduduk Jepak tanpa mengira kaum dan agama.
"Segala masalah dan isu dalam DUN Jepak akan saya usahakan. Kita mampu selesaikan isu-isu yang diutarakan di DUN Jepak", kata Iskandar yang ditemui di Dewan Suarah di sini.