fb fb fb fb fb

Pandemik jejas keputusan SDKA, SMA Johor

(Mohd. Fared Mohd. Khalid pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Darjah Khas Agama dan
Sekolah Menengah Agama di Kompleks Islam Iskandar, Johor Bahru
)

JOHOR BAHRU, 29 Mei- Kerajaan Johor dan Jabatan Pendidikan Islam akan melakukan penilaian semula susulan kemerosotan prestasi keputusan Sekolah Darjah Khas Agama (SDKA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) tahun 2022.
 
Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, perkara tersebut terpaksa diakui kerana pendidikan secara fizikal lebih baik berbanding dalam talian yang dijalankan ketika pandemik COVID-19.

Beliau berkata, faktor kekurangan guru agama juga menjadi antara penyumbang terhadap kemerosotan tersebut.
 
"Ini bukan alasan, tetapi itulah fakta yang berlaku dan pendidikan secara atas talian berbanding pendidikan fizikal pasti ada kekangan. Kita mengaku bahawa pendidikan formal secara fizikal adalah yang terbaik. Ini adalah kesan yang kita terpaksa akui berlaku.

"Insya-Allah hasil daripada keputusan yang kita nyatakan hari ini, kita memberi komitmen untuk melihat semula keadaan ini. Sekalipun ia berlaku dalam tempoh pandemik kita tidak boleh mengambil perkara ini dengan ringan," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan peperiksaan SDKA di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini.
 
Keputusan SDKA dan SMA yang diumumkan hari ini menyaksikan seramai 79 pelajar menerima keputusan cemerlang dengan pencapaian tujuh agregat, berbanding seramai 135 orang tahun 2021.

Pontian kekal menjadi daerah terbaik SDKA 2022 dengan peratus kelulusan sebanyak 76.75% dan Gred Purata Skor (GPS) 2.64 manakala sekolah cemerlang SDKA kali ini adalah Sekolah Agama Penjara Simpang Renggam dengan mencatat GPS 1.09.

Shahizatul Arianie Shahrul dari Sekolah Agama Taman Sri Saujana Kota Tinggi yang memperoleh tujuh agregat iaitu 12A1 dalam 12 mata pelajaran, dinobatkan sebagai pelajar terbaik peperiksaan SDKA 2022.

(Mohd. Fared Mohd. Khalid)

Media Baharu