KUALA TERENGGANU, 29 Mei- Kampung Budaya yang terletak di Perkarangan Muzim Negeri Kuala Terengganu akan melalui proses naik taraf bermula Julai ini.
Kampung Budaya merupakan antara salah satu lokasi pelancongan ternama di negeri itu, akan diberi wajah baharu menerusi peruntukan bernilai RM5.05 juta.
Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata proses pembangunan dijangka akan siap pada Disember 2024.
Apabila siap kelak akan memberi lebih keselesaan kepada pengunjung serta penganjuran pelbagai program yang telah dirangka.
Ketika ini, lokasi berkenaan telah merekodkan lebih 150,000 pengunjung sejak dibuka September 2020.
Tahun lalu, Kampung Budaya Terengganu telah berjaya merangkul dua anugerah iaitu Gold Award Best Cultural Attraction anjuran Malaysia Tourism Council serta Best Cultural Tourism Program anjuran Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia.
"Perkara utamanya adalah dewan. Dewan terbuka dan dewan teater. Di samping itu, ada lampu limpah untuk pencahayaan di Kampung Budaya dan pembangunan tandas baharu.
Kita juga akan buat landskap dan laluan pejalan kaki yang lebih tersusun mengikut tempat yang kita tentukanlah dan pembangunan landskap lebih kepada pertambahan gerai-gerai tempat rehat, tempat duduk wakaf untuk kegunaan pengunjung bersantai di sini," kata Fadli Yusof Zakaria kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Media Sosial Sempena Program Pelita Raya Terengganu 2023.
(Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria)
Turut hadir, Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathi Abd Ghani dan Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Terengganu, Nor Hafizoh Idris.
Program Peliter Raya yang merupakan acara tahunan telah berlangsung pada 14 sehingga 18 April lalu.
Kategori Media Sosial dibuka bagi memberi peluang kepada pengunjung menunjukkan kreativiti mereka melalui gambar yang dimuat naik melalui pelantar media sosial Facebook dan Tik Tok.