ALOR SETAR, 29 Mei- Bekalan gula di Kedah dijangka pulih sepenuhnya bermula 1 Jun ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata pengilang gula utama di negeri itu iaitu Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) telah memberi jaminan bahawa bekalan gula akan pulih dan stabil seperti sediakala awal bulan depan.
Jelas Affendi, isu kekurangan bekalan utama di negeri itu bukan disebabkan khabar angin, kononnya akan berlaku kenaikan harga gula di pasaran menyebabkan terdapat peruncit, peniaga atau pemborong tertentu menyorok bekalan tersebut.
Sebaliknya, ia berlaku disebabkan kerja penambahbaikan yang dilakukan di kilang terbabit yang sepatutnya siap pada 17 Mei lalu, namun terpaksa dilanjutkan ekoran beberapa kekangan tertentu.
Keadaan itu menyebabkan pengeluaran gula berkurangan daripada kebiasaan iaitu 400 tan metrik sehari kepada kira-kira 250 tan metrik sehari.
Ia menyebabkan beberapa kawasan di negeri itu mengalami masalah kekurangan bekalan gula.
"Yang penting sekali adalah berkenaan keberadaan bekalan gula di seluruh Kedah. Jadi, kita telah kenal pasti punca dan kita juga telah mencari jalan penyelesaian yang kita cuba untuk pastikan bahawa dalam masa terdekat ini bekalan gula, sekarang ini bekalan gula di Kedah stabil kecuali kawasan terpencil sahaja.
Kita di pihak KPDN Kedah telah berusaha sedaya upaya untuk mengatasi setiap aduan yang diterima sehingga pegawai dan penguat kuasa saya pergi ke premis untuk pastikan bekalan gula sampai ke tempat-tempat yang diperlukan," kata Affendi kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama pengilang, pemborong utama dan pemborong gula di Kedah di pejabat KPDN Kedah di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, pagi tadi.
(Pegawai KPDN memeriksa jualan dan bekalan gula di premis di sekitar Kedah)
14 daripada keseluruhan 20 pemborong di Kedah hadir pertemuan tersebut.
Beliau turut mengulas lanjut tindakan segelintir peruncit dan peniaga yang mengehadkan pembelian gula, bahawa tindakan itu dibenarkan dalam usaha membolehkan orang ramai mendapatkan bekalan tersebut secara adil.
Tambahnya, tiada peraturan atau syarat yang ditetapkan bahawa pengguna yang mahu membeli gula kasar perlu membeli gula putih bertapis jernih yang dijual pada harga yang lebih tinggi mengikut harga pasaran.
"Kita pastikan bahawa setiap gula yang dijual adalah dijual pada RM2.85. Sekiranya terdapat peruncit atau pemborong yang melakukan catuan kerana untuk memastikan semua peruncit dapat bekalan gula serta semua pembeli dapat gula yang diperlukan selain mengelak pembelian panik, maka kita tak halang, dibenarkan tetapi jika ada syarat diletakkan beli gula kasar baru dapat gula putih bertapis jernih atau sebaliknya, ia tidak boleh," jelas Affendi.
Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati meletakkan syarat yang tidak mematuhi undang-undang.