fb fb fb fb fb

Prestasi Menteri, Timbalan Menteri perlu diukur - Zahid

(Foto Bernama)

PUTRAJAYA, 30 Mei- Prestasi setiap Menteri dan Timbalan Menteri dalam kerajaan Malaysia Madani perlu diukur atau dinilai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bukan berdasarkan populariti atau isu populis di media sosial semata-mata.

Sebaliknya, perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

"Ukuran itu jangan terhad kepada populariti, viraliti atau isu populis dalam media sosial sahaja. Lebih baik jadi wira yang tidak didendang, kurang dengan kenyataan populis tetapi meraikan kumpulan sasaran...harus diberi tumpuan dan keutamaan dalam perkhidmatan kita," katanya.

(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/Foto Bernama)

Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2022, di sini hari ini.

Tiada kompromi aspek integriti

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW menegaskan, tiada kompromi membabitkan aspek integriti.

Ia susulan penahanan seorang pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pecah amanah berjumlah RM24.8 juta.

Beliau berkata, perbuatan itu menjejaskan imej dan prestasi kementerian.

"Kerana nila setitik inilah merosakkan prestasi yang baik, ini bukan hanya soal persepsi tetapi soal integriti.

"Saya memandang bahawa soal integriti mesti diperlihatkan bukan hanya didendang, maka soal jika ada dalam kalangan saya sendiri atau timbalan atau mana-mana pegawai, kakitangan yang melakukan rasuah saya tidak akan pernah berkompromi untuk mengambil tindakan," tegasnya

Media Baharu