PUTRAJAYA, 30 Mei - Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai semula status transisi negara ke fasa endemik pertengahan Jun ini dengan membuat penilaian risiko jangkitan COVID-19.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata ini bagi melihat kesesuaian peralihan memandangkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan di negara ini masih diteruskan sehingga 30 Jun depan.
“Disebabkan negara masih contohnya kita lihat ada kes khususnya pada musim perayaan ada peningkatan sedikit walaupun masih terkawal tapi yang berlaku adalah kes yang rendah tapi kebimbangan itu masih ada dan kita masih pantau dengan dekat.
“Pertengahan bulan Jun kita akan nilai semula dan lihat bagaimana keadaan itu dan kita juga akan melihat juga garis panduan yang diberikan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO),” katanya dalam sesi taklimat Kertas Putih Kesihatan kepada media, di sini.
Sebelum ini, Dr. Zaliha berkata WHO mengumumkan COVID-19 bukan lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global pada awal Mei lalu.
Tambah Zaliha, pengisytiharan Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan adalah perlu bagi memenuhi keperluan isolasi atau pengasingan kes COVID-19 di mana-mana tempat selain hospital dan keperluan majikan dan pengujian kepada pekerja.