fb fb fb fb fb

Presiden Turkiye ucap tahniah kepada Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 November - Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menerima panggilan telefon daripada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan yang merakamkan ucapan tahniah kepadanya, beberapa jam selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Panggilan itu diterima sejurus sebelum Anwar memulakan sidang media pertamanya sebagai perdana menteri.

Dalam perbualan telefon yang berlangsung selama kira-kira 10 minit, Anwar menyuarakan harapan agar Malaysia dan Turkiye dapat mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam banyak bidang termasuk perdagangan, perniagaan, budaya, pendidikan dan ketenteraan.

"Saya tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengan anda," katanya kepada Erdogan.

(Anwar menerima panggilan ucapan tahniah sejurus sebelum
memulakan sidang media pertamanya sebagai PM/ FOTO BERNAMA)

Anwar memberitahu sidang media bahawa terdahulu beliau menerima panggilan telefon daripada Presiden Indonesia Joko Widodo yang menyampaikan ucapan tahniah, dan ucapan sama turut diterima daripada rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong serta Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Anwar, 75, semalam mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. - BERNAMA

Media Baharu