fb fb fb fb fb

Jawatan TPM perlukan perbincangan lanjut, BN atau GPS - PM

KAJANG, 24 November - Jawatan Timbalan Perdana Menteri bakal diisi wakil daripada Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa perkara berkenaan belum diputuskan lagi dan memerlukan perbincangan lanjut.

“Oleh kerana Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan (PH), maka timbalannya pula adalah daripada komponen kuat lain iaitu BN atau blok Sabah dan Sarawak iaitu GPS. Apabila saya sudah putuskan kelak, saya akan maklumkan," kata Anwar dalam sidang medianya hari ini, di sini.


(FOTO BERNAMA)

Sementara itu, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya memberi jaminan melindungi hak orang Melayu dan kedudukan Islam serta kedudukan Raja-Raja Melayu.

"Kerajaan akan mendukung hak orang Melayu dan kedudukan Islam yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan," tambahnya.

Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan itu selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 di Istana Negara selepas mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelantikan berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas tiada gabungan parti politik meraih kemenangan dengan majoriti mudah.

 

 

Media Baharu