fb fb fb fb fb

Presiden PAS perlu 'cermin diri' sebelum melabel pihak lain

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama, PKR, Amidi Abdul Manan/Foto Arkib Bernama

KUALA LUMPUR, 13 September –Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan pemimpin Melayu - Islam dalam kerajaan semasa sebagai lemah; disaran supaya “melihat diri sendiri di cermin”.

Pengarah, Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan, berkata Ahli Parlimen Marang itu sebenarnya lupa bahawa beliau pernah terikut dengan kehendak rakan sekutu untuk menderhakai titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan kemelut 'parlimen tergantung' pada 2022.

Dalam hal berkaitan, katanya Abdul Hadi juga dilihat terus mempertahankan perhubungan politik dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Pengerusi Perikatan Nasional itu terus menerus mengkritik DYMM Sultan Abdullah.

“⁠Dimanakah suara beliau ketika Radzi Jidin melalak dan melolong menuduh PMX sebagai peliwat tanpa mendatangkan 4 saksi seperti yang ditetapkan dalam al-Quran?

“⁠Beliau juga tidak berdaya dan lemah untuk memberhentikan pencemaran fikrah yang boleh menjerumuskan umat kepada pemikiran khawarij dalam parti beliau sendiri,” tambah Amidi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Marang ketika menyampaikan amanat sempena Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, baru-baru ini ada mengeluarkan kenyataan bahawa pemimpin Melayu-Islam dalam kerajaan perpaduan tidak berupaya menangani rakan-rakan pimpinan bukan Islam.

Jelas Amidi, Abdul Hadi sebenarnya lemah untuk membersihkan elemen salah laku dan kerosakan integriti yang berlaku dalam keluarga beliau sendiri.

“⁠Keangkuhan seorang ulama amat bahaya kepada ummah. Kita ingin melihat keberanian Presiden PAS membetulkan perkara yang sebahagiannya berpunca daripada beliau sebelum dengan angkuh melabel pimpinan lain lemah,” katanya.

MAT YUNUS BIN SABRI