SEPANG, 27 April – Presiden Republik Maldives, Dr Mohamed Muizzu, tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama empat hari, yang juga merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada November 2023.
Dr Muizzu bersama delegasi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.31 petang dengan menaiki pesawat Maldivian Airline.
Ketibaan beliau disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang bertindak sebagai menteri pengiring bagi lawatan tersebut.
Sejurus tiba, Dr Muizzu diberi penghormatan menerusi Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) yang diketuai oleh Kapten Muhammad Nafis Norshid, melibatkan dua pegawai dan 24 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).
Sepanjang lawatan, Dr. Muizzu dijadualkan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis sambutan rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin.
Selain itu, Dr Muizzu dan Anwar akan menyaksikan majlis pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama dalam bidang pelancongan, sukan dan kesihatan.
Turut diadakan ialah pertukaran dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) berkaitan latihan diplomatik dan penubuhan konsultasi dua hala antara Malaysia dan Maldives.
Pada 29 April ini, Dr Muizzu dijadual menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan Madani daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Penganugerahan tersebut akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, selaku Ketua Perlembagaan UIAM.