MADINAH, 27 April – Seramai 14 pengamal media yang bertugas dalam operasi Haji 1446 Hijrah dibawa menjalani aktiviti ziarah luar ke beberapa lokasi bersejarah sekitar Kota Madinah Al Munawarah.
Aktiviti itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengamal media untuk merasai pengalaman bermakna serta menerokai sejarah Islam yang berakar di kota suci tersebut.
Menurut Pengurus Pasukan Media Tabung Haji (TH) Tanah Suci, Norasyikin Yusof program ziarah tersebut bertujuan menambah pengetahuan sirah Nabi Muhammad SAW dalam kalangan media, yang kemudiannya dapat disampaikan kepada masyarakat melalui pelbagai platform komunikasi moden.
"Pengamal media yang bersama kita (TH) akan didedahkan kepada persekitaran bersejarah untuk pengetahuan mereka dan supaya dapat diuar-uarkan kepada orang awam melalui alat yang canggih dan seumpamanya," katanya.
Antara lokasi yang diziarahi termasuk Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan Jabal Uhud, tempat-tempat yang kaya dengan nilai sejarah dalam perkembangan awal Islam.
Sementara itu, Pembimbing Ibadat Haji TH, Ustaz Kamarudin Abd Hamid berkata ziarah luar itu penting kerana media merupakan platform terbaik dalam menyampaikan dakwah serta ilmu berkaitan sejarah dan perjalanan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan agama Islam di Madinah.
"Sebagai medium dakwah, pengamal media berperanan besar dalam menghebahkan sejarah Islam kepada masyarakat," ujarnya.
Penolong Pengarang Berita Kosmo!, Muhammad Firdaus Hassan, yang pertama kali menjejakkan kaki ke Madinah, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang melihat sendiri syiar Islam di kota suci itu.
"Inisiatif TH membawa pengamal media menziarahi tempat-tempat bersejarah sangat bagus kerana ia memberi peluang kepada kami menyingkap kisah sirah Nabi Muhammad SAW, selain menerbitkan keinsafan dalam hati," katanya.
Bagi musim haji 1446H/2025M ini, seramai 31,600 jemaah dari Malaysia dijadualkan menunaikan ibadah haji, dengan penerbangan pertama akan bermula pada 29 April.
Semua jemaah juga bakal berpeluang mengikuti aktiviti ziarah luar semasa berada di Madinah.