KUALA PERLIS, 27 April – Perlis bakal menerima sebuah sekolah sukan sebagai usaha untuk memperkasa aktiviti sukan dan memberikan manfaat kepada atlet muda di negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara tersebut selepas pertemuan dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang menyuarakan kebimbangan mengenai ketiadaan sekolah sukan di Perlis.
"Adakah ini mencukupi? Jawapannya tidak. Adakah tidak ada masalah? Ada. Semasa makan tengahari bersama Tuanku, beliau menyebut mengenai sekolah sukan. Saya agak tertekan untuk menjawab kerana sudah berbelas tahun sukan tiada, sekolah pun tiada. Jadi, akhirnya saya putuskan untuk memberi tanggungjawab kepada Khazanah Nasional Berhad (KHAZANAH) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk melaksanakan projek ini dengan segera," katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat negeri Perlis, yang turut dihadiri oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Tambah Anwar, projek tersebut akan dilaksanakan pada tahun ini dengan segera, bersama peruntukan yang diperlukan untuk menyiapkan sekolah sukan di Perlis.
Tahun lalu, Perlis menerima lonjakan tertinggi dalam peruntukan iaitu sebanyak RM645.58 juta, mewakili peningkatan peratusan sebanyak 65 peratus.