fb fb fb fb fb

Premis hiburan operasi tanpa lesen diserbu, lima orang ditahan

Kesemua tangkapan dan mangsa serta barang rampasan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,

KUALA LUMPUR, 2 Mac- Sebuah premis hiburan di Petaling Jaya diserbu Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kerana beroperasi tanpa lesen dan menawarkan minuman keras yang tidak sah cukai.

Operasi yang dijalankan itu turut disertai Jabatan Agama Islam (JAIS) bagi mengenal pasti kesalahan di bawah Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI 2.0).

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong memaklumkan serbuan membawa kepada penangkapan lima individu; membabitkan seorang pemilik pusat hiburan, penjaga kaunter, pengurus serta dua orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

"Tangkapan dibuat mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) Negeri Selangor 1995.

"Serbuan turut merampas tiga keping resit perniagaan, enam botol arak, sebuah 'controller', 'mixer controller', mikrofon serta dua pembesar suara.

"Kesemua tangkapan dan mangsa serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM