fb fb fb fb fb

PRE 2.0: e-Baucar tempahan bilik penginapan manfaatkan lebih 33,000 Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Julai - Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE 2.0) bagi Kluster Penginapan yang dilancarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia bakal memberikan manfaat kepada rakyat di negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia merupakan satu inisiatif kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan yang melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun dan rebat baucar.

"Di bawah kluster penginapan ini, dianggarkan seramai 33,830 rakyat Malaysia akan berpeluang menebus tawaran rebat baucar bernilai antara RM50 sehingga RM100 menerusi pembelian bilik penginapan hotel seluruh Malaysia bermula 1 Julai 2022 sehingga 31 Disember 2022," kata beliau pada majlis pelancaran PRE 2.0 bagi kluster penginapan di sini malam tadi.

(Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022
(PRE 2.0) bagi Kluster Penginapan)

Tambahnya, penebusan adalah terhad untuk tiga kali penebusan sahaja bagi setiap pemilik MyKad.

Pusat penginapan yang terlibat adalah hotel-hotel di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) dan Rangkaian Hotel Seri Malaysia (HSM).

Beliau turut menggalakkan warga Keluarga Malaysia agar mengambil peluang tersebut untuk melancong dalam negara dan menikmati inisiatif yang telah ditawarkan oleh pihak kerajaan.

Media Baharu