fb fb fb fb fb

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi adakan pertemuan dengan pemain industri, kenal pasti ketirisan

(Tan Sri Annuar Musa ditemu bual Berita RTM selepas menjadi tetamu program Bicara Naratif)

KUALA LUMPUR, 14 Julai - Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi telah mengadakan pertemuan dengan semua pemain industri minyak masak bagi menangani masalah ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata perbincangan tersebut bertujuan mengenal pasti proses dan punca masalah tersebut berlaku.

Menurut beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, dalam pertemuan pada petang Selasa itu, pihaknya berbincang mengenai keperluan kerajaan dalam melaksanakan sistem pengeluaran minyak masak peket bersubsidi dan kaedah menurunkan harga minyak masak di pasaran.

"Begitu juga tentang ketirisan, tak mungkin orang boleh menyeludup jika tiada orang memberikan kerjasama dan orang nak menyeludup, (dengan) kuantiti yang banyak, bukan kutip dekat kedai, dia datang secara pukal dan bila pukal ini dia tak berlaku pada peruncit," kata beliau ketika ditemu bual Berita RTM selepas menjadi tetamu program Bicara Naratif di Angkasapuri, di sini.

Tambah Annuar, sekiranya masih berlaku ketirisan dan penyelewengan, berkemungkinan besar sistem pengeluaran minyak masak paket akan dirombak.


 (Tan Sri Annuar Musa ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif dengan tajuk Tangani Inflasi,
Perkukuh Ekonomi di Angkasapuri)

Sementara itu beliau turut memaklumkan pihaknya juga telah mengarahkan semua Ketua Setiausaha di setiap kementerian untuk mempertingkatkan tahap penyampaian maklumat kepada rakyat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan terhadap sebarang informasi yang disampaikan.

"Saya nak semua kementerian mestilah menyampaikan maklumat, berikan kerjasama kepada media, beri kerjasama kepada editor, beri kerjasama (kepada) semua pihak yang nak mendapatkan maklumat, tanpa melanggari OSA(Akta Rahsia Rasmi), maklumat untuk rakyat itu perlu, sebab kalau rakyat tak cukup maklumat, rakyat akan terperangkap dengan maklumat separa benar dalam media sosial," jelas Annuar.

Tambahnya, mesyuarat bersama jemaah menteri pada Rabu telah memutuskan untuk memperkasakan unit komunikasi strategik di semua peringkat kementerian dengan menambah peruntukan daripada yang sedia ada agar penyampaian yang lebih tepat dapat dilaksanakan.

Media Baharu