KUALA LUMPUR, 30 September – Rapid Rail Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya akan melakukan Pra-Pemeriksaan Perakuan Bomba di beberapa stesen MRT laluan Putrajaya, bermula tengah malam ini hingga 7 Oktober.
Rapid Rail memaklumkan, langkah itu diambil sebagai persediaan untuk sesi Pemeriksaan Perakuan Bomba oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober.
Inisiatif tersebut merupakan kerjasama antara Rapid Rail dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) selaku pemilik aset, bagi memastikan sistem pencegahan kebakaran di stesen-stesen MRT berfungsi dengan baik serta mengenal pasti aspek keselamatan yang perlu diperbaiki.
Berikut adalah jadual Pra-Pemeriksaan Perakuan Bomba serta stesen-stesen yang terlibat
"Prapemeriksaan akan dilakukan selepas waktu operasi, bermula dari pukul 12.00 tengah malam hingga 4.00 pagi. Penduduk di kawasan sekitar stesen terlibat dinasihatkan agar tidak bimbang jika mendengar penggera kebakaran berbunyi, kerana ia sebahagian daripada aktiviti tersebut," menurut Rapid Rail menerusi kenyataan.
Pengguna juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di 03-7885 2585 atau merujuk laman media sosial Rapid KL untuk maklumat lanjut.