KUALA LUMPUR, 29 April- Sebanyak 712 kediaman mampu milik berkonsepkan Small Office Home Office (SOHO) dan apartmen khidmat dibangunkan di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
Ia ditawarkan pada harga RM250,000 dan RM270,000 dengan keluasan 450 kaki persegi dan 550 kaki persegi.
Selain harga mampu milik, pelbagai kemudahan turut disediakan seperti kolam renang, gimnasium, surau, gelanggang badminton dan taman permainan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya berkata projek sebegini dijangka mampu membantu mengurangkan masalah perumahan di kawasan ibu kota, selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia.
"Kerajaan menyedari kediaman menjadi keperluan mendesakbagi Keluarga Malaysia. Di bawah RMK-12 dan MPMMN, langkah-langkah segera dan jangka panjang telah digariskan untuk menyelesaikan perkara ini. Ini adalah selari dengan usaha memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 dalam usaha mengelakkan mereka daripada menanggung beban kewangan yang berat. Langkah ini diperkukuhkan lagi dengan usaha-usaha sedia ada agensi-agensi Kerajaan lain seperti PR1MA misalnya, yang dapat menyumbang secara positif ke arah pemilikan rumah yang lestari," katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi PRIMA - Astrum Ampang di Kuala Lumpur.'
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.
(Ismail Sabri semasa berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi PRIMA - Astrum Ampang di Kuala Lumpur)
Kediaman TOD bukan sahaja memudahkan pergerakan anak muda ke tempat kerja tetapi juga membolehkan negara mencapai sasaran mengurangkan jejak karbon menjelang tahun 2030 selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG30).
Pada masa sama, dalam ucapannya, Ismail Sabri memberitahu kerajaan beriltizam untuk memastikan satu rangka penyelesaian disediakan bagi mengatasi peningkatan kos binaan mendadak akibat konflik antara Rusia-Ukraine yang akan memberi kesan kepada harga rumah.
Sehubungan itu, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan mencari penyelesaian terhadap masalah yang timbul selain memudahkan pembelian dan pemilikan rumah pada masa akan datang.
"Aspirasi kerajaan adalah untuk membina 500,000 rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) sebagai usaha merealisasikan wawasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah'. Aspirasi ini sangat dekat di hati saya dan pihak Kerajaan memahami kerisauan anak muda untuk mempunyai tempat untuk berteduh terutamanya selepas mereka bersara," katanya.