KUALA LUMPUR, 29 April- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM24.4 juta Bantuan Aidilfitri untuk golongan asnaf pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, bantuan ini memberi manfaat bagi 30,300 orang asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan dengan jumlah RM1,100 bagi setiap keluarga.
"Harapan kita seperti yang saya sebut tadi supaya asnaf ini kita akan 'develop' kan dan kita akan bimbing mereka, kita akan bangunkan potensi yang ada pada mereka terutamanya dalam kalangan anak muda yang boleh berdikari dan kemungkinan jika mereka tidak ada modal dan sebagainya," katanya.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad)
Idris ditemui selepas menghadiri Majlis Iftar bersama asnaf di ibu negara.
Ujarnya, tanpa komitmen para pembayar zakat, program bantuan seumpama ini tidak mungkin dapat dibuat secara optimum.
Secara keseluruhan, MAIWP telah mengagihkan RM35.8 juta sepanjang bulan Ramadan termasuk bantuan Ihya Ramadan, Sumbangan Tabung Kebajikan Perubatan Hospital dan lain-lain.