fb fb fb fb fb

PPUM wujud makmal bertaraf dunia buat pesakit kanser

Gambar hiasan

PETALING JAYA, 17 April - Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melancarkan sebuah makmal yang mampu memberi banyak manfaat kepada para pesakit kanser seperti leukemia, dan Limfoma.

Pakar Perunding Hematologi Universiti Malaya, Prof. Dr. Bee Ping Chong, berkata, ia sejajar dengan misi PPUM untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia kepada para pesakit.

"Penubuhan makmal ini merupakan rawatan perubatan yang disesuaikan mengikut profil genetik dan sifat penyakit masing-masing.

"Tujuan makmal ini ditubuhkan supaya kita boleh menghasilkan sejenis rawatan untuk pesakit kanser terutama kanser limfoma dan leukemia.

"Kita gunakan rawatan darah putih pesakit dan kita ambil daripada pesakit kemudian akan dihantar ke makmal di sini untuk tujuan mengubahsuaikan darah putih itu supaya darah putih itu boleh mengenal sel kanser pesakit.

"Jadi selepas proses itu, kita akan masukkan semula darah putih itu yang dikenali sebagai CAR-T kepada pesakit. Jadi dalam badan pesakit sel CAR-T ini akan memusnahkan sel kanser," katanya kepada RTM hari ini.

Makmal yang berkeluasan 6,000 kaki persegi itu menelan perbelanjaan sebanyak RM6 juta.

Selain itu, penubuhan makmal tersebut adalah bagi menyediakan pilihan rawatan kanser yang lebih berkesan dengan melibatkan kos lebih murah.

Hal ini kerana pesakit tidak perlu keluar negara demi untuk mendapatkan rawatan.

Fasiliti ini turut memberi manfaat kepada pelajar dan penyelidik melalui penglibatan dalam latihan amali dan perkongsian teknologi.

GRACE AISYAH KEDAYAN