KUALA LUMPUR, 17 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Kurup yang meninggal dunia, malam ini.
Menerusi perkongsian akaun Facebook miliknya, Anwar berkata, jasa dan pengorbanan mendiang sewaktu menjadi menteri di peringkat persekutuan dan negeri pasti akan dikenang rakyat serta negara.
"Kepada Datuk Arthur Joseph Kurup (anak) dan keluarga, moga tabah dan kuat dalam menerima khabar duka akan pemergian Tan Sri Joseph Kurup hari ini.
"Takziah saya utuskan kepada keluarga mendiang," katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi Facebook beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada Arthur Joseph dan keluarga mendiang yang lain.
"Semoga keluarga mendiang terus tabah dan sabar berdepan kehilangan ini," katanya.
Mendiang Joseph, 79, yang juga Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.
Perkara itu disahkan oleh pegawai kepada anaknya, Arthur Joseph yang juga Presiden PBRS dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Intergrasi Nasional) dan bersara daripada politik tahun lepas selepas memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti itu pada 1994.
Arthur yang juga Timbalan Presiden menggantikan ayahnya sebagai Presiden PBRS pada Januari tahun lepas.
Mendiang dijadual dibawa pulang ke Sabah esok.