KUALA LUMPUR, 12 November- Pusat Panggilan Setempat (PPS) Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) merupakan platform untuk memberi penjelasan tepat bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan penjawat awam berhubung sistem saraan baharu itu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan PPS itu sebagai memudahkan penjawat awam yang masih musykil berkaitan SSPA.
Ia juga memberi peluang kepada individu berkenaan untuk bertanya secara terus kepada pegawai terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kajian SSPA.
"Saya sekali lagi menyeru semua penjawat awam untuk memilih SSPA bagi memberikan satu jaminan yang lebih baik apabila mereka pencen kelak," katanya selepas merasmikan PPS SSPA di ibu negara.
Menurut Wan Ahmad Dahlan data diperoleh JPA menunjukkan bahawa penerimaan penjawat awam terhadap SSPA amat baik.
Dalam pada itu penjawat awam masih mempunyai baki dua minggu sebelum membuat pilihan sama ada bertukar ke opsyen SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Tempoh opsyen yang diberikan 40 hari itu mencukupi dan ia tidak akan dilanjutkan.
Bagaimanapun penjawat awam boleh menghubungi talian 03-8885 3380 yang beroperasi dari lsnin hingga Jumaat bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
Sejak pengenalan SSPA melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2024 pada 13 September lepas, sebanyak 54 sesi libat urus dilaksanakan untuk memberikan penerangan mengenai sistem saraan itu.
Pengenalan SSPA adalah sebahagian daripada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam lebih besar, bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam selain membantu mengurangkan kos sara hidup bagi pegawai awam.
Sistem itu dibangunkan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sektor awam, selaras dengan dasar Malaysia MADANI.