fb fb fb fb fb

PPIP 2030 jadikan Pulau Pinang destinasi pelaburan pilihan

Foto FB Chow Kon Yeow

BAYAN LEPAS, 20 Jun- Pelan Induk Perindustrian Negeri Pulau Pinang 2030 (PPIP 2030) disifatkan sebagai antara langkah strategik kerajaan negeri dalam mendepani cabaran ekonomi global.

Ia bertujuan memperkukuh rantaian nilai industri serta menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pelan itu merupakan sebahagian usaha penting memacu transformasi sektor perindustrian negeri agar kekal berdaya saing dan mampan.

"YB Jason (Jason H'ng Mooi Lye) ada menyatakan bahawa kita memang mahukan satu pendekatan yang holistik, sebab memajukan industri bukan hanya soal tanah semata-mata.

"Ia juga perlukan kemudahan utiliti, tenaga kerja mahir, rantaian bekalan yang mantap, serta ekosistem yang lengkap termasuk kemudahan seperti pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya.

"Kita juga perlukan kerjasama dengan institusi pendidikan untuk sediakan bakat yang sesuai. Semua ini termasuk dalam usaha kita melalui STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik), navigasi dan lain-lain.

"Malah, penyediaan CLQ atau tempat penginapan pekerja juga merupakan komponen penting dalam keseluruhan rantaian industri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Pelan Induk Perindustrian Negeri Pulau Pinang 20230 di sini.

Projek seperti pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta pembangunan Batu Kawan Industrial Park 3 antara tumpuan utama pelan ini.

Kerajaan negeri itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan melalui Pelan Induk Bakat STEM dan memperkukuh infrastruktur untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan 5.0.

Pelan berkenaan diselaraskan dengan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 bagi menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri pintar, harmoni dan bertaraf antarabangsa.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM