SHAH ALAM, 20 Jun- Lebih 100 penduduk Taman Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor dipindahkan sementara ke Dewan MBSA Kemuning Utama susulan banjir kilat yang melanda pagi tadi.
Ini selepas paras air mencecah lebih daripada tiga kaki tinggi di kawasan perumahan itu, susulan hujan lebat berterusan selama dua jam sejak pukul 6.00 pagi tadi.
Menurut Ketua Bomba Zon Shah Alam, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Zaidi Safuan, kejadian banjir berlaku berikutan kegagalan fungsi pam saliran utama yang mengeluarkan air dari kawasan perumahan tersebut.
"Dianggarkan kira-kira 180 unit rumah terlibat di seluruh taman ini. Sistem saliran di kawasan ini bergantung kepada pam untuk mengalirkan air keluar dari kawasan padat, terutamanya di hadapan rumah-rumah.
Jika diperhatikan, jalan utama tidak dinaiki air, namun banjir tetap berlaku di sebahagian kawasan. Ini menunjukkan bahawa pam saliran tidak berfungsi dengan baik untuk mengalirkan air dari parit di hadapan taman ini," kata Ahmad Zaidi kepada pemberita, hari ini.
Jelas beliau, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang berusaha memulihkan pam yang tidak berfungsi bagi mempercepatkan proses menyurutkan air.
Tambah Zaidi, usaha menyelamat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba sukarela.
Pihak bomba juga akan terus melakukan pemantauan di lokasi sehingga keadaan pulih sepenuhnya.