SUNGAI SIPUT, 20 Jun – Program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) diperkenalkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu petani mendapatkan pasaran tetap bagi hasil pertanian mereka.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, melalui program ini, hasil tani yang dikeluarkan di bawah skim Kontrak Pemasaran Ladang Kontrak (KPLK) akan dipasarkan secara berjadual dan lebih teratur.
Tambah beliau, petani tidak lagi bergantung kepada pembeli yang tidak menentu dengan disokong melalui penyediaan bantuan peralatan kepada usahawan tani bagi melancarkan proses bekalan dan pemasaran.
"Individu, koperasi atau syarikat yang berdaftar sebagai rakan pemasar diwajibkan membeli hasil pertanian daripada petani lain. Langkah ini bertujuan mempercepatkan proses pengedaran dan memastikan pasaran hasil tani kekal stabil.
“Dengan bantuan peralatan ini, ia akan membantu usahawan tani mendapatkan bekalan serta memasarkan hasil mereka dengan lebih mudah. Hari ini juga kita saksikan satu memorandum persefahaman (MoU) antara usahawan tani dan FAMA untuk memperkukuh pemasaran hasil pertanian,” katanya semasa Majlis Dialog dan Penyerahan Peralatan RPKP di Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) Sungai Siput hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Sekuriti Makanan dan Operasi), Shahrizan Sudiman berkata program RPKP berpotensi meningkatkan pendapatan petani antara 20 hingga 30 peratus setiap musim.
“Kalau ikutkan perancangan kita untuk RPKP, sasaran peningkatan hasil adalah antara 20 hingga 30 peratus. Insya-Allah sasaran itu boleh dicapai,” katanya.
Di Perak sahaja, sudah ada empat rakan pemasar aktif di Kuala Kangsar, Bagan Datuk dan Teluk Intan yang membimbing lebih 40 petani di kawasan masing-masing.