SHAH ALAM, 20 Jun- Penduduk Taman Bukit Kemuning, Shah Alam menyuarakan hasrat agar sistem saliran dan pam air di kawasan perumahan mereka dinaik taraf.
Langkah berkenaan sekali gus bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan menegaskan bahawa insiden kali adalah yang paling teruk dialami penduduk.
Banjir kilat tersebut turut mengakibatkan kemusnahan harta benda selain menyusahkan penduduk berpindah ke tempat perlindungan sementara.
"Kalau kedua-dua pam itu berfungsi, saya rasa insya-Allah kawasan ini tidak akan banjir. Tapi tadi hanya satu pam sahaja yang berfungsi, manakala satu lagi tidak beroperasi. Kami memang tak sangka air boleh naik secepat ini. Kawasan lain pun hujan lebat, tapi tak banjir. Tapi taman kami ini memang kerap sangat banjir," kata Junainah Johan.
"Hujan mula turun sekitar pukul 6 pagi hingga 8.30 pagi, tapi kali ini mungkin lebih lebat daripada biasa. Selalunya rumah saya tak pernah dimasuki air, tapi hari ini air naik sampai satu setengah meter, memang habis semua dalam rumah. Kereta pun saya tak sempat alihkan, dua-dua tenggelam," kata Zainal Samsuri.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Shah Alam memaklumkan lebih 100 penduduk dipindahkan sementara ke Dewan MBSA Kemuning Utama susulan banjir kilat yang melanda pagi tadi.