KUCHING, 3 Januari - Inisiatif Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) melalui program PENDAYA dilancarkan sebagai platform pembangunan kepimpinan dan keusahawanan khusus untuk wanita Dayak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, golongan itu mempunyai potensi besar sebagai pemimpin ekonomi keluarga, penggerak perusahaan mikro dan kecil, serta penjaga warisan budaya dan kelestarian komuniti.
"Di Sarawak pula sebanyak 11 program perantis telah dilaksanakan dengan penglibatan 640 peserta wanita sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan untuk memastikan pembangunan kepimpinan wanita dilaksanakan secara inklusif dan seimbang dari segi Wilayah," katanya ketika berucap sempena program PERANTIS di sini.
Program PENDAYA dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 13 Januari 2026 di Dayak Chamber Of Commerce Industry (DCCI) Kuching.
Dalam pada itu Datuk Seri Nancy turut memuji kerjasama antara Women Empowerment and Sustainability Network Association (WESNA) Kuching dan Dayak Chamber of Commerce & Industry (DCCI) sebagai contoh pendekatan yang mampu menghasilkan impak mampan kepada komuniti.
Program PENDAYA direka khas untuk 50 usahawan wanita Dayak, merangkumi peserta baharu dan berpengalaman termasuk pemilik perniagaan keluarga, syarikat pemula serta perusahaan berasaskan komuniti.
Pendekatan yang diterapkan adalah bersifat holistik dan menyeluruh, merangkumi pembelajaran interaktif, kajian kes sebenar, simulasi kepimpinan, sesi refleksi berstruktur serta bimbingan mentor dan rangkaian perniagaan yang berterusan.
Program itu bukan sekadar latihan jangka pendek, sebaliknya merupakan satu perjalanan kepimpinan transformasi yang memberi impak jangka panjang.
Kejayaan program seperti PENDAYA tidak mampu dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kolaborasi strategik antara pelbagai pihak termasuk WESNA Kuching sebagai peneraju pemerkasaan wanita, DCCI sebagai platform sokongan keusahawanan Dayak, para fasilitator dan mentor serta sokongan berterusan daripada kementerian dan agensi berkaitan.
