RAWANG, 3 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perjuangan reformasi sejak awal adalah untuk menuntut perubahan sistem lebih adil, bukannya sekadar pertukaran individu dalam kepimpinan negara.
Beliau menegaskan perubahan kepimpinan sama ada Perdana Menteri atau menteri tidak akan memberi kesan signifikan selagi sistem yang bermasalah tidak ditangani secara menyeluruh.
"Perjuangan ini menuntut perubahan terhadap sistem, bukan individu. Perdana Menteri dan menteri boleh silih berganti, namun yang diperjuangkan adalah pembaharuan sistem agar menjadi lebih adil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort, di sini.
Datuk Seri Anwar menyifatkan perubahan perlu dilaksanakan secara waras, bijaksana dan melalui musyawarah, khususnya dalam kerangka Kerajaan MADANI yang melibatkan pelbagai parti dengan keutamaan masing-masing.
Meskipun Pakatan Harapan tidak menguasai keseluruhan kerusi Parlimen namun kerajaan tetap bertanggungjawab melaksanakan agenda perubahan sebaik mungkin berdasarkan mandat yang diberikan rakyat.
