RAWANG, 3 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk menolak rasuah, penyelewengan dan keangkuhan kuasa, sambil mengingatkan pemimpin agar menggunakan kuasa sebaik mungkin ketika diberi amanah.
Beliau berkata, cabaran utama reformasi adalah memastikan perubahan benar-benar dilaksanakan semasa berada dalam kerajaan, bukan sekadar lantang bersuara ketika berada di luar kuasa.
Menurutnya, golongan yang sudah terbiasa dengan amalan rasuah serta pencerobohan terhadap kebebasan institusi kehakiman tidak akan mudah menerima agenda perubahan yang dibawa kerajaan hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar mengemudi kuasa secara bijaksana demi kepentingan rakyat dan negara.
“Masa ada kuasa buat sebaik mungkin. Orang yang biasa dengan rasuah tidak mungkin menerima kita dengan baik, orang yang mendukung rasuah tidak mungkin akan senang dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort.
