KUALA LUMPUR, 3 Januari - Menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu 2026, ibu bapa mula membuat persiapan awal dengan melengkapkan keperluan asas anak-anak termasuk pakaian seragam, kasut, stoking, beg sekolah serta alat tulis.
Tinjauan RTM mendapati sebahagian ibu bapa memilih untuk membeli barangan sekolah secara berperingkat dan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di kedai selain membantu mengawal perbelanjaan, khususnya bagi keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak bersekolah.
Rosni Aminza Rosli berkata, pembelian secara berperingkat memberi ruang kepada ibu bapa merancang kewangan dengan lebih baik dalam tempoh yang lebih panjang.
"Biasanya kasut dan pakaian seragam menjadi keutamaan. Kasut sekolah lebih diberi perhatian kerana ia digunakan hampir setiap hari.
"Saya lebih selesa buat persiapan awal. Kalau beli saat akhir, selalunya terlalu sesak dan memenatkan. Selalunya keperluan sekolah anak-anak lazimnya dibeli secara berperingkat mengikut keutamaan," katanya. ketika ditemui RTM.
Sementara itu, Nurul Hasyimah Aripin turut berkongsi pandangan sama dan menyifatkan pembelian berperingkat sebagai langkah bijak bagi mengelakkan kesesakan.
"Keperluan utama seperti baju sekolah, kain, kasut, stoking, beg dan alat tulis memang perlu dirancang. Saya beli sedikit demi sedikit.
"Biasanya enam bulan pertama kita beli dahulu, kemudian enam bulan berikutnya kita lihat semula jika perlu diganti, terutamanya baju yang sudah kotor atau lusuh," katanya.
Bagi keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak bersekolah seperti Rosnina Jaafar berpandangan, perancangan awal dan pengurusan bajet menjadi keutamaan bagi memastikan semua keperluan dapat disediakan.
"Buku sekolah anak-anak sudah diselesaikan semalam, cuma pembelian lain dibuat pada saat akhir asalkan mengikut bajet. Kalau tiada perancangan kewangan, memang agak sukar kerana saya mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah.
"Saya lebih memilih untuk membeli keperluan sekolah sekali gus supaya semuanya selesai dalam satu masa. Jika beli sedikit demi sedikit, ia menyukarkan pergerakan kerana perlu berulang-alik. Sebab itu hari ini kami selesaikan semua, memandangkan minggu hadapan dijangka lebih sesak," katanya.
Namun, terdapat juga ibu bapa yang memilih untuk membuat persiapan pada saat akhir. Nor Azwan Azman berkata, pembelian seminggu sebelum sekolah bermula memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
"Saya biasanya buat persiapan pada minggu terakhir sebelum sekolah dibuka. Tak perlu tergesa-gesa dan pilihan pun masih banyak," katanya.
