KLANG, 20 JUN- Program Radio Di Lokasi (RDL) menjadi salah satu pendekatan TraXX FM bagi mendekati pelajar dan memberi pendedahan tentang peranan radio kerajaan sebagai penyampai info dan maklumat.
Menurut Penolong Pengurus TraXX FM, Hanihafiza Yacob, program itu merupakan yang pertama diadakan tahun ini dalam siri RDL sebagai tanda penghargaan berterusan terhadap jasa warga pendidik.
"Ini merupakan salah satu pendekatan yang dilakukan oleh TraXX FM untuk mendekati golongan muda, terutamanya pelajar, bagi memahami bagaimana mereka menerima stesen radio kerajaan dan peranan kami sendiri sebagai penyampai maklumat yang dekat di hati rakyat,” katanya di majlis sambutan hari guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Klang di sini pagi tadi.
Sementara itu, Penolong Pentadbiran SMK Convent Klang, Roslinda Ahmad pula berkata, program tersebut membuka ruang pendedahan sosial serta meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar, selain memberi inspirasi kepada mereka untuk meneroka kerjaya yang lebih luas dan tidak semestinya konvensional.
"Jadi, dengan kehadiran stesen radio ini, ia membuka ruang yang lebih luas untuk pendedahan terhadap kerjaya masa hadapan dan minat mereka yang mungkin bercabang lebih jauh daripada cita-cita konvensional.
"Mungkin pada hari ini, mereka lebih terbuka kepada peluang kerjaya yang bersifat tidak konvensional," katanya.
Kolaboratif ini juga telah memberi nafas segar kepada warga sekolah melalui pengisian yang lebih santai dan bermakna, sambil mengurangkan tekanan guru yang sepanjang tahun menguruskan program dalaman.
TraXX FM berharap kerjasama seperti itu dapat diperluaskan sebagai strategi untuk membina hubungan lebih erat dengan komuniti sekolah dan belia, serta memperkukuh peranan radio kerajaan dalam landskap penyiaran negara.