PUCHONG, 20 Jun– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM27 juta.
Menurut Perdana Menteri, keputusan tersebut adalah urusan sistem kehakiman dan Peguam Negara.
“Itu bidang kuasa hakim dan Peguam Negara. Saya tidak masuk campur,” katanya ringkas kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Sri Aman, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan DNAA terhadap Najib selepas Hakim K. Muniandy berpuas hati bahawa kes tersebut telah berlanjutan terlalu lama sejak 2019.
Mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan belum memperoleh dokumen penting sebagai bukti, dan kelewatan itu menafikan hak tertuduh untuk mendapat penyelesaian yang sewajarnya dan tepat pada masanya.