SHAH ALAM, 20 Jun - Penduduk di Taman Bukit Kemuning, Seksyen 32 di sini menggesa agar sistem saliran dan pam air di kawasan perumahan itu dinaik taraf segera susulan kejadian banjir kilat yang melanda pagi tadi.
Menurut mereka, kejadian kali ini adalah yang paling buruk pernah dialami, dengan air naik mendadak hingga menyebabkan kemusnahan harta benda dan memaksa penghuni berpindah ke pusat perlindungan sementara di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama.
Salah seorang penduduk, Junainah Johan berkata, kegagalan salah satu pam air berfungsi dipercayai menjadi punca utama banjir tersebut menjadi lebih parah.
"Kalau kedua-dua pam berfungsi, saya rasa insya-Allah tidak banjir tapi yang berfungsi tadi cuma satu pam saja, satu lagi tidak berfungsi. Memang tidak sangka air naik secepat ini," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zainal Samsuri berkongsi pengalaman cemas apabila kediamannya dinaiki air sedalam satu setengah meter.
"Hujan mula turun sekitar pukul 6.00 pagi hingga 8.30 pagi, mungkin lebih lebat daripada biasa. Rumah saya sebelum ini tidak pernah dimasuki air, tapi hari ini habis semua barang musnah. Kereta saya dua biji pun tenggelam sebab tak sempat dialihkan," ujarnya.
Penduduk berharap pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan proaktif bagi mengelakkan kejadian sama berulang, memandangkan kawasan itu sering dilanda banjir setiap kali hujan lebat.