fb fb fb fb fb

HELPIE bawa SKPP11(1) ke pentas global

Foto RTM

PUTRAJAYA, 20 Jun– Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) (SKPP11(1)) melakar sejarah apabila tersenarai dalam 10 finalis utama Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat.

Pencapaian global itu direalisasikan menerusi pembangunan aplikasi mudah alih inovatif yang dikenali sebagai HELPIE.

Menurut Guru Besar SKPP11(1), Norzah Mohd Kassim, HELPIE merupakan hasil idea sinergi guru serta pelajar sekolah berkenaan yang dibangunkan pada 2023.

Inisiatif itu bermatlamat untuk menyokong kesejahteraan emosi dan kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

"Di peringkat sekolah, kami memiliki barisan guru yang sangat kreatif dan inovatif serta murid-murid yang sentiasa proaktif mencari ruang dan peluang untuk melaksanakan projek bersama.

"Tiada kata yang mampu menggambarkan perasaan ini. Ia memberi semangat baharu buat warga sekolah sekali gus memberi impak besar kepada Malaysia secara keseluruhannya," katanya.

Selain itu, Ketua Projek, Mohd Saharudin Setapa berkata aplikasi itu dilengkapi lapan ciri utama termasuk permainan emosi, kad terapi, pengukuran tekanan dan bot perbualan yang direka bentuk secara interaktif serta mesra pengguna kepada kanak-kanak.

HELPIE digunakan secara aktif dalam kelas dengan bantuan 'tablet' dan bimbingan guru.

"Kami mahu sediakan ruang untuk pelajar memahami perasaan mereka sendiri. Melalui fungsi seperti 'Emotion Game', murid-murid boleh mengenal pasti emosi dan belajar cara menguruskannya," jelasnya.

Keberkesanan aplikasi itu jelas terbukti apabila berjaya mencapai matlamat meningkatkan kesedaran kesihatan mental sehingga lebih 90 peratus dalam kalangan pelajar sekolah tersebut.

Dalam pada itu, HELPIE bukan sekadar aplikasi, sebaliknya turut menyerlahkan kecerdasan dan daya saing generasi muda.

Khususnya dalam memanfaatkan teknologi secara bijak untuk membawa perubahan positif dalam persekitaran sekolah.

Bagi pelajar yang terlibat, Emyr Hayyan,10, pengalaman membangunkan HELPIE merupakan sesuatu yang amat bermakna.

“Rasa teruja sangat sebab projek ni kami bangunkan di sekolah saja. Kawan-kawan pun cakap mereka lebih faham emosi dan pandai urus tekanan apabila guna HELPIE," katanya.

Pengumuman rasmi pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 dijadualkan berlangsung pada Oktober ini di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM